BAB 2


Tubuh kurus tingginya dihenyakkan ke tilam empuk bilik. Haziq mengucap syukur lembut di dasar hati. Sampai juga dia di tanah air, di rumah itu. selama bertahun-tahun dia menetap dan menimba pelajaran di United Kingdom bersama Melissa Hardani, kini sudah tiba masanya dia kembali. Rindu kepada kedua orang tuanya, rindu pada rumah, sudah terlalu dalam berbekam di jiwa. Hanya Tuhan yang tahu..bagaimana dia cuba mengusir rasa itu setiap hari di rantau orang, bersendirian.

            Matanya yang letih perlahan-lahan dilelapkan. Solat maghrib sudah ditunaikan. Tidur sebentar sementara menanti waktu makan malam dan solat isyak. Pintu diketuk lembut dari luar, Haziq Iqmal hanya mengeluh layu. Baru ingin berehat sebentar. Digagahkan juga tubuh letihnya ke pintu kamar tidur. Dia menjengahkan kepala ke luar. Wajah pembantu rumahnya jelas membesar di muka pintu, “tuan muda, tuan panggil turun makan....”

            “Iyalah..Nanti Haziq turun....” Haziq Iqmal menutup pintu sebaik pembantu rumahnya berlalu. Dia merebahkan tubuh ke atas katil semula. Bila sudah baring di tilam empuk itu, lapar dan haus sudah menjadi bukan yang utama. Yang paling penting, keletihan itu harus disusutkan segera. Tetapi tidak elok pula membiarkan orang tua menunggu kita yang masih muda di meja makan. Nak tak nak dia bangun juga biarpun keletihan seharian di dalam kapal terbnag sudah memanjat diri.

            Pintu bilik dikuak lembut, kakinya diatur ke tingkat bawah banglo dua tingkat milik kedua orang tuanya. Haziq Iqmal menarik kerusi meja makan, berhadapan dengan bapanya. “pa..ma…” senyumannya dileretkan kemas memenuhi ruang bibir.

            “Makan, Haziq..” Sapa Tan Sri Zarif.

            “Kenapa tak bawak Lisa datang sini. Bolehlah mama borak-borak dengan dia…” Puan Sri Azizah ketawa nipis, bercakap tentang Melissa Hardani bakal menantunya itu banyak yang boleh dilontarkan. Gadis itu selalu membelikan barangan berjenama untuknya. Tidak kira beg, baju.. Gadis itu hanya memilih yang sempurna. Belum jadi ibu mertua, macam-macam sudah dihidangkan. Tiada alasan lagi dia mahu menolak gadis itu. Biarpun, dia mampu membeli semua itu dengan duit sendiri, semestinya yang percuma itu lebih bermakna. Bibirnya menahan senyum.

Haziq Iqmal senyum kelat. Walau betapa ibunya sukakan Melissa Hardani, gadis itu tetap bukan pilihan hatinya. “Biarlah dia rehat dulu….Lagipun Haziq malas nak ambik-ambik dia…”

            “Apa Haziq ni….Tak baik cakap tunang macam tu…” sergah Puan Sri Azizah.

            “Tak.. maksud Haziq…Lisa tak nak susahkan Haziq nak hantar-hantar dia. Haziq ada tanya tadi….” Seloroh Haziq Iqmal. Senyuman sinisnya disimpan ketat-ketat.
Tan Sri Zarif menggeleng-gelengkan kepala, isterinya jika bercakap pasal Melissa Hardani laju saja. Entah berapa banyak yang dirasuah gadis itu kepadanya. “Hmm…lepas ni apa rancangan kamu? Bila kamu nak ikut papa pergi office?” 

            “Haziq tak kisah, yang penting keputusan papa…” Haziq Iqmal tertunduk. Ada apa-apa lagi jawapan? Hanya itu. Kedua orang tuanya sudah membesarkan, menyekolahkannya begitu baik, syukurlah, mungkin ini masanya dia pula yang menjaga pasangan tua itu.

            Tidak mengapalah, cinta boleh dipupuk. Dia hanya perlu bersabar sedikit saja...