BAB 14


“Hahahaha..... Iera...Iera....Aduh..” Boboy ketawa berdekah-dekah, sama dengan Yuzie. Apa yang Maya lontarkan, benar-benar mencuit hati kecilnya. Bagaimanalah Maya boleh terfikir idea seperti itu, mereka semua tahu bagaimana orangnya Ierani Ilyana, pemalas, pengotor, gelojoh, penjimat. Rugi mereka berdua tidak berada di situ semasa Maya membuat temujanji semalam.

            “Janganlah gelak...” Ierani Ilyana senyum nipis.

            Dia sudah menjangkakan perkara itu, siapa mampu mengubah tabiat hidupnya yang begitu. Sedangkan dia berkali-kali mencuba juga tidak berhasil. Apakan lagi Maya, gadis itu tahu apa?

            “Dahlah Iera... jenuh aku melayan kau tahu...” Maya menggeleng-gelengkan kepala, kesal membantu teman baiknya semalam. Satu benda pun tidak jadi. Balik-balik dia yang bengang sendiri.

            Boboy dan Yuzie saling berpandangan. Wajah sugul Ierani Ilyana dijeling sekilas, Yuzie memberi isyarat kepada Maya, agar gadis itu melihat perlakuan Ierani Ilyana yang mendiamkan diri. Barangkali bicara yang diluahkan terlalu kasar. Maya menggigit bibir. dia asyik menyinggung perasaan gadis itu saja kebelakangan ini.

Sempat dicuit Boboy. Lelaki itu hanya mencebik. “ Iera.... Aku gurau aje okay....”

            “Tahulah, aku ni aje yang tak sedar diri....” Ierani Ilyana melihat jam tangannya, sudah pukul enam petang. Dia patut pulang ke rumah. “Balik dululah, nanti ayah aku bising pulak...” Ierani Ilyana mengambil beg di atas katil Maya, seraya berlalu keluar.

            Maya memandang Boboy. Kemudian mengangkat kedua belah keningnya ke arah Yuzie.

            Ierani Ilyana berhenti di depan rumah besar dua tingkat itu. dia duduk di tangga. Hatinya terguris? Semestinya, dia hanya manusia biasa. Sampai bila dia harus bermimpi tentang Haziq Iqmal mahupun boyfriend sempurna ? Sedangkan ia tidak pernah wujud untuk dirinya.. mungkin menurut kata bapanya lebih baik, biar mereka dan Tuhan yang menentukan jodohnya kelak. Buat apa susah-susah mencari. Semuanya ada di depan mata..

            Pantas dia berdiri, langkah longlainya semakin bersemangat. Kegagalan hari ini mungkin adalah kejayaan hari esok, siapa tahu..






            “Cepat-cepat....” Boboy menarik tangan Ierani Ilyana keluar dari rumah tergesa-gesa.

Ierani Ilyana tertanya-tanya ke mana mereka akan pergi tetapi dia menurut juga, tubuh kecilnya sudah membonceng motorsikal kapcai Boboy. “Kau nak bawak aku ke mana ni, Boboy?”

            “Adalah, kau duduk diam-diam je....” enjin motorsikal dihidupkan sebelum menjauh dari depan rumah Ierani Ilyana. Senyum kambingnya terserlah memenuhi bibir. Boboy memecut motorsikalnya laju. Ierani Ilyana memegang tempat duduk, mamat ini bawa motor macam pelesit. Sesekali libasan rambut ke muka, menyakitkan.

            Mereka berhenti di depan taman permainan. Pandangan Ierani Ilyana melilau ke sekeliling. mencari apa-apa yang mungkin berbeza di situ. Matanya sekejap dikecilkan, sekejap dibesarkan mencari sesuatu yang tidak pernah ada.

            “Hoi, mengelamun!” Sergah seseorang.

Ierani Ilyana pantas menoleh, muka besar Yuzie meluahkan nafas lega yang tersekat di batang lehernya. Dia mencari kelibat Maya. Jika ada Yuzie, pasti ada Maya. Mereka berempat kan kawan baik yang tidak pernah terpisah. “Maya mana?”

            “Tu....” Yuzie menjuihkan bibirnya ke arah papan gelongsor di hujung taman. Maya melambaikan tangan ke arah mereka bertiga. Ierani Ilyana pantas berlari ke arah gelongsor, dia memanjat tangga satu-persatu sebelum menggelongsor ke bawah. Seronoknya perasaan ini, terasa seperti kanak-kanak yang sentiasa mencari perhatian.

            Yuzie duduk di buaian, menghayunkan buaian besi itu dengan kedua belah kakinya.

            “Kawan-kawan, aku ada satu rancangan untuk Iera.... sebab tu aku nak jumpa korang ni....” Dia pantas bangun mengadap Maya. Dua lagi temannya dipandang silih berganti.

            “Pasal apa...?” Maya menoleh ke arah Ierani Ilyana yang turut pelik, tiba-tiba namanya naik pula. Cukup-cukuplah tentang temujanji dan memalukan diri sendiri sebelum ini.

Yuzie senyum nakal, Boboy turut senyum. “Kali ni gerenti jadi..... macam ni....”

            Bicaranya lincah merancang sesuatu yang lebih rapi. Sesekali gelak tawa mereka kedengaran bergema di seluruh ruang taman permainan kecil itu.
















SAMPAI SINI SAJALAH YA... Kalau naktahu dapat atau tidak Ierani Ilyana mendekati Haziq Iqmal, beli buku ini OKAY!